ADAB MEMULIAKAN TETAMU


Salam silaturrahim buat semua pengunjung laman ini. Terima kasih kerana dirimu cukup setia mengikuti perkembangan laman ini. Tiada kata indah yang dapat ku ucapkan hanyalah “berterima kasih” kerana sudi membaca hasil karyaku walaupun tak seberapa namun dirimu tetap menjadi sahabat setia laman ini.
Pada malam yang damai ini, terdetik dihatiku ingin berbicara sesuatu yang mungkin ada di antara kita yang pandang remeh tentang satu hal yang sangat dituntut oleh agama kita Islam. Oleh itu, bicara pada malam ini adalah berhubung dengan akhlak dan adab kita ketika melayan tetamu sama ada tetamu itu di rumah, di pejabat dan sebagainya.
“Adakah sebelum ini aku melayan tetamu-tetamu yang hadir ke rumahku dengan baik?”.
“Adakah aku mengikuti adab-adabnya sepertimana yang dianjurkan oleh agamaku Islam?”
Inilah persoalan yang timbul dibenak fikiranku ketika ini. Mungkin juga dirimu berfikir persoalan yang sama.
Justeru itu, pada kesempatan ini aku memohon ampun dan maaf kepada mereka yang pernah bertamu ke rumahku seandainya layanan dan sambutan kehadiranmu sebelum ini kurang memuaskan hati dan andainya terguris perasaan.
Dengan demikian, ku tuliskan bicara ini adalah sebagai usaha ke arah memperbaiki diriku, dirimu dan kita semua agar segala sesuatu yang dilakukan dalam kehidupan seharian kita mengikuti akhlak dan adab yang telah diajar oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW serta mengamalkannya. Makanya terimalah bicaraku yang berjudul : Adab Memuliakan Tetamu.
Tetamu ialah orang yang datang mengziarahi kita. Sebagai tuan rumah kita hendaklah melayan tetamu dengan baik dan beradab.
Antara adab-adab memuliakan tetamu ialah :
  • Kita hendaklah menyambut dan mengalu-alukan kedatangan mereka.
  • Sebagai tuan rumah, kita hendaklah menunjukkan kemesraan dengan muka yang manis.
  • Wajib menutup aurat.
  • Menggunakan bahasa yang sopan dan baik ketika bercakap.
  • Menyediakan makanan dan minuman mengikut kemampuan.
  • Memastikan rumah dalam keadaan yang bersih dan kemas.
  • Mengiringi tetamu ke muka pintu ketika hendak pulang.
Itulah sebahagian adab-adab yang perlu di amalkan ketika memuliakan tetamu yang hadir mengziarahi kita. Apabila mengamalkan adab-adab tersebut, maka banyak faedah dan manfaat yang kita perolehi. Antaranya ialah :
  • Mendapat rahmat daripada Allah SWT.
  • Dapat mengiratkan hubungan silaturrahim.
  • Orang yang melayan tetamu akan dihormati dan disanjungi oleh orang lain.
  • Disayangi dan dicontohi oleh masyarakat.
Manakala sekiranya tidak mengamalkan adab-adab memulia tetamu sepertimana yang disebut di atas, maka akibatnya adalah :
  • Dibenci oleh Allah SWT dan manusia.
  • Mendapat dosa.
  • Merenggangkan hubungan silaturrahim.
  • Tidak dihormati oleh masyarakat.
  • Menimbulkan fitnah.
Dengan bicara ringkas malam ini, harapanku bisa menjadi panduan dan pedoman dalam kehidupan kita seharian. Untuk diriku, dirimu dan kita semua. Semoga kehidupan kita diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.
Ya Allah…Kami hamba-MU yang lemah lagi dhaif, ampunilah segala dosa-dosa kami…Kami juga memohon kepada-MU agar ENGKAU kurniakan kepada kami akhlak yang baik sepertimana akhlak para nabi dan para sahabat serta kekasih-MU Ya Allah…Tuhan Semesta Alam….Ameen.
Wallahu a’lam.

Comments

Popular posts from this blog

BIODATA SYEIKH DR ABDURRAHMAN AL-SUDAIS

KHULAFA' AR-RASYIDIN

BIODATA KEKASIH ALLAH S.W.T